Hari ini aku berjalan lagi meneruskan episod kehidupan yang tidak bertuju. Sepertinya aku tidak tahu lagi arah mana yang harus ditempuh. Tangan ku kosong, kaki ku lenguh melangkah. Tiada daya dan upaya yang memaksa aku menghayunkan langkah lagi. Aku bertungkuh, termanggu ditepian jalan sambil mengutip butir-butir batu dijalanan. Ku lontar batu-batu itu di tepi denai sambil merenung nasib kehidupan. Mata binar ku hanya mampu merenung kosong dan hambar. Hidup seperti terlalu menyakitkan jiwa raga ku. Aku binggung dalam mencari jalan keluar, meskipun sudah tiada jalan lagi yang ku lihat di hadapan. Siapa aku yang layak untuk menyalahkan takdir illahi?? Iya, aku yang salah kerana salah memilih takdir sendiri ataupun sesungguhnya ini sudah tertulis untuk ku. Sakit! Itulah perasaan yang sedang mencucuk-cucuk jiwa raga ku. Aku tidak dapat menerima takdir ini.. Aku tidak suka takdir ini!!
Matahari dan bulan bersilih ganti menerangi bumi. Matahari yang bersinar seolah memberi harapan baru pada jiwa-jiwa manusia yang masih hidup, lalu di malam hari bulan muncul seolah menyuruh manusia berehat dari kepenatan di siang hari. Aku berfikir, sungguh hebat ciptaan Allah Azza Wa Jalla. Menciptakan matahari dan bulan yang bergerak dan berganti shift tanpa mengeluh. Tidak terbayang dimindaku bagaimana andai sesuatu ketika Matahari berdegil untuk tidak mahu muncul di siang hari dan bulan pula tidak mahu lagi bersilih ganti dengan Matahari. Langit pula protes tidak mahu turunkan hujan, laut pula mengamuk tidak membenarkan nelayan mencari ikan. Oh, tidak terbayang oleh dek akal.
Dunia juga mungkin pernah merasa sakit dan lelah seperti ku. Namun, ketaatan mereka kepada Sang Pencipta membuatkan mereka menafikan segala perasaan dan kelelahan mereka. Sedangkan jauh sekali dengan diri ku. Aku leka di saat semua yang aku mahu, aku dapati dengan mudah. Aku lupa pada Sang Pencipta, lupa kewajipanku terhadapnya, hilang ketaatanku sebagai seorang hamba. Lalu, saat dunia seperti membeci ku, hidupku menjadi sempit, manusia mulia mula memandang ku hina, aku seperti hilang dari radar. Aku masih lupa pada Sang Pencipta. Aku mendongak ke langit mendabik dada mempersoalkan segala kesusahan yang menimpaku. Seolah-olah aku lah insan termulia yang tidak selayaknya dihukum sedemikan rupa.
Kekosongan jiwa di saat ini, membuatkan aku berjalan longlai seperti insan yang lahir sebatang kara. Tiada lagi tempat berpaut, tiada lagi tempat mengadu. Ingin ku jerit sekuat hati ku, sehabis daya ku agar terlepas segala bebanan di jiwa raga ku. Namun, bukan itu kekuatan yang ku cari, bukan itu cara yang mampu melegakan dada ku yang seperti dihimpit sesuatu yang sangat menyakitkan. Ranting-ranting kecil ku kutip dan ku himpunkan menjadi unggun api. Aku cukup teruja saat melihat api kecil mulai menyala dicelah-celah ranting lalu membesar memberi kehangatan dalam tubuh ku. Senyumanku tanpa sedar terukir, seolah terubat sedikit keresahan. Api yang menyala seperti memberi harapan pada diri, bahawa ada sinar di hadapan yang bakal menyinari.
Langit tak selamanya cerah, hujan tak selamanya turun. Dalam hidup tak semuanya indah, pasti adakalanya seperti diruntun badai. Namun, selagi hati masih hidup jiwa masih bernyawa, kehidupan ini tetap perlu diteruskan. Pepatah “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul” mengingatkan aku pada seorang wanita. Wanita ini merupakan ibu bagi lima orang anak yang masih kecil dan muda. Wanita ini sangat kuat dan tabah, 5 tahun bertarung dengan nyawa melawan kesakitan yang luar biasa. Beliau berdepan dengan penyakit yang seolah menjanjikan kematian dalam waktu yang singkat. Namun, wanita ini tetap kekal memberikan senyuman dan kasih sayang kepada semua orang yang melihatnya. Jarang sekali merungut, malah makin bersyukur atas segala yang diberikan. Nikmat yang ada, dihargai secukupnya. Selagi masih bernyawa selagi itu berbuat baik untuk keluarga. Kekuatan yang luarbiasa ini hanya mampu dirungkai dari mata luaran. Namun, kekuatan dalaman dari jiwa yang kuat dan hati yang besar, pasti tiada siapa yang mampu untuk selami.
Setiap insan yang lahir ke dunia punya kisah sendiri, pastinya mempunyai seribu satu kisah suka dan duka. Islam sendiri sangat suka menceritakan kisah-kisah terdahulu yang cukup menginspirasikan. Sepertimana kisah Nabi Ayyub yang diuji dengan kesakitan bertahun-tahun, kehilangan harta kekayaan serta isteri tersayang. Bagaimana dikisahkan tetang ketabahan dan kesabarannya saat diuji, malah baginda sentiasa bersyukur dan mengingati Tuhan. Kisah-kisah sebegini dipahatkan dalam pena untuk teladan manusia hingga ke akhir zaman agar kita manusia yang lemah sentiasa mendapat kekuatan daripada kisah-kisah ini. Terkenang pula kisah anakanda tersayang Rasulullah s.a.w yang bernama Saidatina Fatimah Az-zahra. Kisahnya sangat menyentuh hati, meskipun merupakan seorang anak kepada insan termulia, namun hidupnya tidak pernah bermewah-mewah. Tangan dan kudratnya digunakan sepenuhnya untuk menghidupkan keluarga dan perjuangan demi agama. Walaupun hidup susah, Saidatina Fatimah tidak pernah mengeluh kepada siapa-siapa bahkan ayahandanya sendiri .
Sampai satu ketika Rasulullah sendiri melihat kesusahan yang dilalui Saidatina Fatimah, ketika itu saidatina Fatimah baru sahaja mengesat air matanya daripada kelihatan oleh baginda s.a.w. Lalu, ayahandanya bertanya apakah yang membuatkan dirimu menangis wahai sang anak. Sedari penatnya Fatimah mengguli gandum, baginda lalu menghiburkan hati anakandanya dengan kata-kata yang menyenangkan. Sehingga Saidatina Fatimah tidak lagi bersedih hati dengan kesusahan dan kepenatannya mengurus rumahtangga.
Sungguh indah hidup dalam keimanan. Kesusahan di dunia hanya sementara, kesenangan di akhiratlah kekal abadi. Sikap terpuji ini lah yang harus dicontohi oleh semua manusia hari ini. Ramai hari ini, yang suka mengeluh dan menghebah-hebahkan keluhan. Perihal rumah tangga tidak lagi menjadi suatu aib yang dijaga rapi. Namun, lebih gemar untuk di kongsi kepada orang-orang sekeliling mahupun orang yang dikenali ataupun tidak dikenali. Makin pudar nilai malu dalam diri kita hari ini.
Aku terus menongkat dagu, masih merenung ke dalam api yang marak menyala. Cuba mencari kekuatan dari setiap relungan iktibar yang bermain diminda. Hati ku berdalih lagi, ya, aku tidak kuat lagi. Mencari kekuatan dalam kegelapan hati yang hitam seperti mecari cahaya yang tiada sumbernya. Hati ku sudah lama tenggelam dalam indahnya dunia. Mabuk dengan hiburan dan hawa nafsu yang membuak. Ku turuti jiwa mudaku, ku capai segala kemahuan ku. Sehingga satu saat, aku terdampar tidak berdaya. Satu ketukan ujian yang sangat besar, buat ku terngada seperti si buta yang tak bertongkat.
Kalam puitis meluahkan segala rasa, badai ombak di dada tiada surutnya. Hanya pemilik kata mampu menyalur rasa, meski dunia fana hanyalah persinggahan sementara, namun ianya dikejar seperti hilang separuh nyawa. Jelas terpahat dalam kalam mukjizat, dunia hanyalah ibarat separuh sayap nyamuk. Nilainya tiada, tidak pula dipandang manusia, tiada dipasaran, mahupun langsung tiada nilainya. Namun, manusia mengejarnya seperti mengejar gunung emas, demi membina sebuah mahligai. Meskipun, mahligai yang indah sudah dijanjikan di syurga sana bagi mereka yang mengejar kebahahagian di negeri abadi.
Sampai bila harus aku begini? Merenung nasib diri yang belum pasti. Membiarkan perasaan menguasai diri, minda kosong tak berisi, Jiwa bagai dilambung badai amukan diri. Aku teruskan langkah ku lagi…
No comments:
Post a Comment