Pages

Friday, September 21, 2012

Diari seorang Muallaf

"Bismillahirrohmanirrohim,
Semoga dengan kata-kata ini, aku selamat tiba ke destinasi yang akan
menjarakkan aku dengan keluargaku, kawan-kawan lamaku, dan juga kereta kancil kesayanganku.."

Lalu, akupun mulai melangkah menaiki anak tangga kapal yang kini berada dihadapanku. Sekilas aku menoleh kebalakang, melihat-lihat jika masih ada lambaian tangan keluarga yang masih setia dari jauh. Namun, mereka sudahpun hilang daripada pandangan.

Kini, aku rasa sendiri dan kosong. Jiwaku rasa sepi dan sayu, sambil otakku masih  terfikir-fikir akan pesan ibuku semalam.
" Elly, kamu nanti dekat semenanjung kena pandai bawa diri ya. Jangan terlalu bergaul dengan orang, terutama orang islam. Ingat ya!!". Pesan ibu itu merungsingkan jiwaku. Ibu sedar, bahawa aku sering berkawan dengan orang-orang islam, mungkin ibu risau jika aku akan bertukar menjadi seorang muslim.

fikiranku terus melayang bersama awan-awan yang sangat kukagumi keindahannya..
.............................................................................................................................................................. 

Alhamdulillah, akhirnya aku tiba dibumi Kedah. Kedah negeri yang terkenal dengan padinya, kini aku telah memijaknya. Rasa syukur di hati saaat tiba dengan selamat, serta disambut oleh beberapa mahasiswa yang bertugas. Seungkap lagi perkataan yang aku pelajari daripada rakanku yang bernama Sakinah, iaitu alhamdulillah. katanya, kita kena cakap alhamdulillah sebagai tanda kita bersyukur dengan pemberian Tuhan kita. Aku sebenarnya tertarik dengan kata-kata itu. Sambil tersenyum, akupun terus berlalu untuk mendaftarkan diri.

................................................................................................................................................................
Azan Maghrib kedengaran dari masjid kampus ke bilik kediamanku. Saat itu, hatiku rasa bergetar. Jiwaku tak keruan, rasa seperti ada sesuatu. Dari sudut jendela, aku melihat rakan-rakan kelasku bergerak beramai-ramai menuju ke masjid. Mereka kelihatan gembira dan bahagia. Hampir setiap saat aku melihat mereka sedemikian. Aku juga bahagia, tapi melihat mereka bahagia, aku rasakan kebahagiaan yang luar biasa. Senyuman mereka yang ikhlas dan sapaan mereka yang menenangkan. Apakah rasiah kebahagiaan mereka?? 
Aku ingin bahagia bersama mereka.. 
hatiku sekali lagi berasa sayu dan merintih-rintih, seperti terkurung dalam sebuah penjara yang aku tidak jumpa di mana pintunya..

Kosong...kosong... jiwaku kosong..

.................................................................................................................................................................

Di dalam kegelapan bilikku, bertemankan cahaya lampu meja, aku merakamkan seluruh gejolak hatiku menerusi sebuah pena yang pastinya bernilai buat hatiku yang gersang ketika ini.
...................................................................................................................................................................

Wahai pemilik hatiku,
Engkaulah yang menciptakan hati dalam jasadku,
Engkau yang membuatkan hatiku berperisa,
akan duka, gembira,sedih, pahit dan gelisah,
Sehingga aku sedar,
bahawa aku tidak mampu untuk menguasai hatiku,
Melainkan dengan mencari, siapa pemilik hatiku.

Wahai hati,
Siapakah yang menciptamu,
penciptaanmu sungguh luarbiasa,
Kehebatanmu membolakbalikkan perasaan,
Adalah suatu yang ghaib bagiku,
Aku ingin mengenal siapa penciptamu,
Kerana ku yakin,
bahawa penciptamu itu terlalu agung kebesarannya.
Dan Dialah yang memiliki hatiku.

Bahkan seluruh anggota tubuhku,
Bukanlah milikku, mereka sengsara bersamaku,
Selagi aku tidak menemui penciptanya yang hakiki,
Mengabdikan diri kepadanya,
Sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang diberikan,
Aku ingin mengenalinya..

Siapakah Tuhan pemilik sekalian alam..


Penaku terhenti setakat itu, jiwaku sekali lagi bergetar. Mulut dan hatiku seperti menyebut kalimah Allah berkali-kali. Allah.. Allah..Allah..
Allah, bukankah itu Tuhan yang disembah oleh orang muslim? Tuhan yang diagungkan seluruh alam?
Pertanyaan itu berulang-ulang kali meyapaku..

.............................................................................................................................................................

Pencarianku tidak terhenti setakat itu, hari-hariku mulai bertemankan buku yang menerangkan tentang ajaran agam islam. Malah, aku juga turut membaca tafsir kitab yang mereka agungkan iaitu Al-Quran. Ketika membelek tafsir Al-Quran, aku terhenti pada satu ayat.

" Dan janganlah kamu merasa lemah, dan jangan pula bersedih hati, sebab kamu paling tinggi darjatnya, jika kamu orang beriman" (Al-Imran 3:139)

Hatiku berbisik, wah, seronoknya menjadi orang yang beriman. Mereka tidak perlu berasa sedih dan lemah, sebab Tuhan mereka telah menjanjikan darjat yang tinggi buat mereka. Aku tersenyum-senyum seolah-olah aku tergolong dalam golongan yang beriman itu. Aku mulai faham, kenapa kawan-kawan islamku selalu kelihatan bahagia.
Senyumanku tidak berlanjutan, setelah aku sedar bahawa aku bukanlah orang yang beriman kepada Tuhan mereka, yakni Allah s.w.t.
................................................................................................................................................................

Setiap hari jiwaku kian terisi dengan ubat indah ,iaitu  kalam-kalam Allah tertulis di dalam buku-buku yang ku baca. Hari-hari yang terus merangkak, membuatkan aku ingin melakukan ibadah kepadanya sebagai tanda pengabdian kepada Tuhan yang menciptakan aku juga sekalian alam. Keyakinanku hampir 100% terhadapnya, hingga menghilangkan segala ketakutan dan kegusaranku terhadap masyarakat sekitarku.

Akhirnya, kata-kata hatiku seperti didengari olehNya.
Suatu hari, aku bertemu dengan seorang wanita yang seusia dengan ibuku. Wajahnya, pembawaannya, agamanya sangat menyentuh hatiku. Naluriku berkata, alangkah bahagianya menjadi insan sepertimu. Aku ingin menjadi sepertinya, yang sentiasa tersenyum bahagia.

Ketika aku diajak kerumahnya, aku diraikan bersama rakan-rakanku. Rumahnya ibarat taman ilmu yang dipenuhi buku-buku agama. Aku rasa terpukau dan mulai menghabiskan masa bersama wanita tersebut yang ingin digelar sebagai ibu.

...................................................................................................................................................................

10 Ogos 2012
Itulah tarikh yang penuh bermakna buatku, tarikh yang memutuskan aku dari dunia kejahilan kepada dunia kebahagiaan, iaitu kebahagiaan yang hakiki, yakni dunia dan akhirat.

Ya Allah,
Tuhan Sekalian Alam,
Jangan Engkau biarkan aku terjatuh lagi dipersimpangan,
Setelah Engkau berikan aku petunjuk dan jalan,
Tiada puji melainkan segala puji hanya untukmu..

Lalu, aku melakukan sujud syukur bersama deraian air mata kesyukuran.

...............................................................................................................................................................
Hari-hari sebagai seorang muslimah..
Tiada hari yang tidak terselit bahagia,
Ketenangan seolah-olah memenuhi seluruh jiwa dan raga..
Aku seperti ingin menjerit..
Bahawa aku kini, terlalu bahagia..

Sebuah warkah ku tuliskan buat rakan-rakanku yang begitu ku cinta..

"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang"
Wahai Sahabat, Utusan Illahi,
Aku ingin menjadi seorang muslimah yang solehah,
Seorang muslim yang beriman dan bertaqwa,
Dengan sebenar-benar taqwa,
Aku tidak mampu, Jika aku sendiri tanpa kalian,
Bimbinglah aku, bagaimana cara untuk menjadi hamba Allah,
Yang beriman dan bertaqwa,
Aku ingin bersyukur atas rahmatnya,
Maka bantulah aku,
Untuk menjadi hambanya yang bersyukur..

Aku bersyukur memiliki sahabat seperti kalian. Moga persahabatan ini, kekal hingga ke syurga Allah.

Ikhlas
SAHABAT SYURGA

.............................................................................................................................................................

TAMAT



No comments:

Post a Comment