Masa itu ibarat emas..
disebabkan emas itu tidak nampak,
masa nampak macam sampah,
murah dan tak berharga..
dibazirkan begitu saja...
ya... nampaknya aku kena beli emas.. hahaah
Saturday, August 29, 2015
Thursday, August 20, 2015
‘GURU PENYULUH KEHIDUPAN’
“Lalu menjadi penerang bagi mereka di alam kubur
nanti”
“
Cikgu, Irfan tiada duit”, adu sahabat baiknya Riduan sewaktu sesi rehat. Irfan
murid darjah 4 yang sering tiada wang saku ke sekolah. Kadang-kadang duitnya
sengaja disimpan untuk keesokan harinya dan kelihatan sangat berjimat cermat.
Sikap Irfan yang sopan dan sentiasa memberi salam ketika bertemu, berjaya
menarik perhatian saya sebagai guru praktikum yang baru seminggu menjejakkan
kaki ke sekolah itu. Saya seringkali mendapat jadual kelas ganti di kelas Irfan
belajar, dan setiap kali itu saya cuba berkenalan dengan lebih akrab lagi
dengan mereka.
Sebagai
guru praktikum, sikap suka memerhati sudah menjadi sinonim kerana budaya
sekolah dan persekitarannya hendak disebatikan dalam diri. Menjiwai profesion
perguruan iaitu dengan membiasakan diri dengan watak-watak yang wujud di
sekolah, kadang-kadang membuatkan saya tersenyum nipis melihat karenah
murid-murid dan perbicaraan guru-guru di sekolah yang sering bercakap tentang
murid mereka. Malah apa yang lebih
mengagumkan guru-guru bercakap tentang murid mereka seolah-olah bercakap
tentang anak mereka sendiri yang sangat mereka kenali.
Saya
menjalani praktikum berfasa dan kesemuanya sebanyak 3 fasa. Setiap fasa
praktikum, saya jalani di sekolah-sekolah yang berlainan dan mendapat
pengalaman yang berbeza bagi setiap sekolah. Namun begitu, tetap ada persamaan
dalam beberapa aspek dan juga beberapa perbezaan yang ketara. Oleh itu, saya
menyimpulkan bahawa setiap sekolah memiliki corak pimpinan yang berbeza dan
memberi pengalaman yang berbeza. Saya berasa amat bersyukur kerana diberi
peluang untuk merasai beberapa pengalaman yang berharga ini.
Mengenang
kembali peristiwa pahit manis semasa menjalani praktikum, salah sebuah sekolah
yang terletak di pinggir bandar telah menggamit satu kenangan indah dalam diri
saya sebagai seorang bakal guru. Sekolah yang terletak di tengah jelapang padi
ini benar-benar memberi ketenangan bagi sesiapa yang datang ke sana.
Murid-murid juga kelihatan sangat seronok menyambut kehadiran kami sebagai guru
praktikum di sekolah ini.
Sekolah
ini juga berjaya melahirkan murid-murid yang cerdas dan berbakat walaupun
bilangan mereka hanyalah sedikit berbanding sekolah-sekolah di bandar. Saya
yakin bahawa kejayaan murid-murid bermula dengan kehebatan guru-gurunya
mendidik. Kak Ana, yang merupakan seorang guru Bahasa Melayu tahun 4 Fathonah sering
menarik perhatian saya, sudah menjadi rutin hariannya turun naik ke kelas yang
terletak di tingkat 3. Kak Ana yang berpersonaliti menawan seringkali mendapat
perhatian murid-murid, hampir setiap pagi ada sahaja murid yang memuji
penampilan Kak Ana . Wajah Kak Ana yang hampir seiras dengan pelakon Indonesia
itu bertambah anggun lagi dengan perwatakannya yang lemah lebut dan juga tidak
kedekut menghulurkan senyuman.
Memandangkan
Kak Ana sudi menjadi guru pembimbing saya semasa menjalani praktikum di sekolah
itu, saya berpeluang mengenali Kak Ana dengan lebih dekat lagi. Saya mendapat
tahu bahawa Kak Ana mengajar dan menjaga dua buah kelas yang tercorot dan
sangat terkenal dengan murid yang agresif dan aktif. Hampir semua guru yang
mengajar kelas tersebut, turut mengeluh setiap kali balik dari mengajar kelas
tersebut. Malah ada segelintir guru yang seolah-olah menakutkan kami untuk
masuk mengajar di kelas tersebut.
Namun
begitu, berbeza sekali bagi Kak Ana yang sentiasa berfikiran positif terhadap
murid-muridnya. Kami bertemu dengan Kak Ana untuk membincangkan silibus
pengajaran dan juga bertanyakan sikap murid-murid di kelas tersebut, dan jelas
Kak Ana tidak memberikan sebarang pandangan negetif tetapi memberikan dorangan
kepada kami. Malah, Kak Ana juga turut sudi memberi tunjuk ajar dengan
menunjukkan kepada saya bagaimana cara mengawal kelas tersebut. Peribadi Kak
Ana yang sentiasa komited dengan tugasnya dan tenang dalam menjalankan
tanggungjawab mendidik anak bangsa itu sangatlah terpuji.
Selain
itu, kelembutan dan kasih sayang Kak Ana sangat terserlah dan menyentuh hati
sesiapa yang melihatnya. Irfan yang merupakan salah seorang murid Kak Ana dan
merupakan anak pertama daripada dua beradik itu bukan lah anak-anak yang
bernasib baik. Irfan dan adiknya kini dibawah jagaan neneknya yang sudah tua
namun tetap gigih menghantar cucu-cucunya ke sekolah. Ibu Irfan telah pun
meninggal dunia manakala ayah mereka pula telah pun meninggalkan mereka sejak
mereka masih kecil lagi. Saya sering melihat Kak Ana bertemu dengan Irfan
dengan memberikan sesuatu kepada budak kecil itu. Kadang-kadang Kak Ana berikan
belanja untuk rehat dan adakala membelikan mereka set pakaian sekolah. Jauh
disudut hati, saya kagum dengan kemuliaan hati dan keprihatinan Kak Ana
terhadap murid-muridnya.
Kasih
sayang merupakan keperluan asas dalam kehidupan seseorang. Ia diletakkan sama
penting dengan keperluan fisiologi dan keperluan keselamatan. Apatah lagi untuk
seorang kanak-kanak seawal usia seperti Irfan. Kekurangan belaian dan kasih
sayang daripada ibu bapa dan penjaga akan memberikan kesan negetif dalam
perkembangan emosi anak kecil. Rasulullah juga menyelar golongan yang tidak
menyayangi anak-anak sebagaimana maksud hadis, “ Tidaklah termasuk golongan
kami, orang-orang yang tidak mengasihi anak kecil di antara kami dan tidak
mengetahui hak orang besar di antara kami” riwayat Abu Daud dan Tarmizi.
Selain
daripada memberi kasih sayang, seorang guru juga perlu amanah dalam menjalankan
tanggungjawab mendidik murid-murid iaitu dengan memberikan ilmu pendidikan yang
benar. Ilmu ibarat cahaya yang mampu menyuluh kehidupan murid di masa hadapan.
Justeru itu, peranan guru adalah sangat besar dalam mencorak anak bangsa.
Meskipun perjalanan saya masih terlalu singkat dalam bidang ini, saya dapat
merasai bebanan kerja yang ditanggung oleh guru-guru di sekolah. Guru bukan
sahaja memberi ilmu pendidikan tetapi guru juga mendidik murid dengan membentuk
akhlak yang mulia.
Pernah
saya mengeluh sewaktu mengajar murid tahun 4 Fathonah yang sangat terkenal
dengan sikap suka bermain di kelas. Saya merasakan bahawa saya sudah melakukan
sehabis baik untuk mereka belajar, namun sikap mereka sahaja yang tidak mahu
berubah. Saya berusaha untuk muhasabah diri supaya tidak berlaku kejam terhadap
mereka iaitu dengan mengabaikan tanggungjawab saya supaya mendidik mereka untuk
terus berubah. Namun begitu, ada satu hari ketika saya melintas kelas mereka,
saya melihat Kak Ana sedang mengajar di kelas tersebut dan melihat suasana yang
berbeza. Saya berasa sangat pelik kerana mereka semua belajar dengan tekun
walaupun Kak Ana mengajar dengan lembut tanpa meninggikan suara.
Sejak
itu, saya mula menyalahkan diri kerana tidak mampu mengawal mereka dan
tertanya-tanya apakah yang Kak Ana lakukan sehingga berjaya membuatkan mereka
mahu belajar dengan tekun. Oleh itu, saya dengan rendah hati telah bertemu
dengan Kak Ana untuk bertanyakan pendapat Kak Ana tentang cara mengawal murid
di kelas itu. Kak Ana seorang yang sangatlah merendahkan diri, namun tidak
pernah mengecewakan saya setiap kali bertemu dengannya untuk mendapatkan
pendapat. Kak Ana memberitahu saya bahawa seorang pendidik perlu peka dengan
tahap pembelajaran anak murid di sekolah kerana ada sebilangan murid yang
mempunyai keupayaan kognitif yang lemah dan ada di antara mereka yang mempunyai
masalah membaca, menulis, mengira dan sebagainya.
Antara
cara untuk mendidik murid yang lemah dalam pembelajaran adalah dengan
memberikan motivasi kepada mereka. Motivasi berbentuk ekstrinsik dan intrinsik
boleh diberikan untuk menggalakan murid-murid ini untuk terus berusaha mengejar
impian. Motivasi ekstrinsik ialah berbentuk pujian, markah yang baik, hadiah
dan sebagainya. Manakala, motivasi intrinsik ialah dengan memberikan peluang
kepada murid untuk mengendalikan sesuatu yang boleh membuatkan mereka gembira,
puas hati dan ingin berjaya.
Abdullah
Nasih Ulwan menyebutkan bahawa generasi islam terdahulu bersungguh-sungguh
berusaha untuk menyerahkan anak mereka kepada guru yang dipercayai. Mereka juga
selalu mengadakan pertemuan dengan para guru anak mereka itu. Antara pesanan
mereka kepada guru tersebut adalah, “ Janganlah kamu keluarkan mereka daripada
satu ilmu kepada ilmu yang lain hingga mereka betul-betul menguasai ilmu
tersebut.’’ Oleh itu, sebagai seorang guru sudah menjadi kewajipan bagi kita
untuk memberikan ilmu kepada murid-murid di sekolah dengan ikhlas dan sabar.
Setiap
nasihat yang Kak Ana sampaikan ianya lahir dari hati yang jelas terpancar
keikhlasan dalam mendidik. Kata-kata Kak Ana juga ibarat peluru yang menembak
diri ini supaya sedar akan kepentingan seorang guru dalam mendidik murid-murid.
Tanggungjawab seorang guru perlu dijalankan dengan sebaik mungkin bukan hanya
seperti melepaskan batuk di tepi tangga tetapi hendaklah seperti menatang
minyak yang penuh.
Selain
itu, seorang guru juga perlu sentiasa bertaubat dan memperbaiki hubungannya dengan
Allah s.w.t supaya dengan itu dia dapat menghadapi kesibukan tugasnya dan
berhadapan dengan para pelajarnya dengan baik. Guru juga perlu ikhlas dalam
melaksanakan pekerjaannya, bersifat kasih sayang dan menunjukkan akhlak yang
baik untuk menjadi ikutan para pelajar. Sememangnya bukan mudah untuk menjadi
seorang guru dengan kesibukan seorang guru itu sendiri. Namun, itu bukanlah
alasan untuk guru melepaskan terus peranan tersebut tanpa mencubanya.
Justeru
itu, sebagai seorang bakal guru kepada anak bangsa, saya sangatlah teruja untuk
mencontohi sikap kak Ana dalam profesion perguruan beliau. Kak Ana boleh
menjadi suri teladan buat saya untuk memiliki nilai-nilai murni dalam profesion
perguruan ini. Selain menjadi suri teladan, kata-kata kak Ana yang memberi
bekas dalam hati, seolah-olah membakar lagi semangat saya untuk menjadi seorang
pendidik yang ikhlas dan sabar dalam mendidik anak bangsa. Saya tidak menafikan
Kak Ana sebagai salah seorang guru yang berjaya memberi inspirasi dalam hidup
saya untuk terus bertapak dalam bidang perguruan ini.
Akhir
sekali, sekalung jutaan terima kasih buat Kak Ana yang banyak membuka mata hati
saya untuk melihat bidang perguruan ini diperspektif yang jauh lebih mulia.
Semoga saya berjaya mencontohi para guru yang telah berjaya melahirkan
murid-murid yang berjaya di dunia dan di akhirat sana.
“
Sesiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu, maka ia mendapat pahala sama seperti
orang yang mengamalkan ilmu tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang
mengamalkan ilmu tersebut.” Riwayat Ibnu Majah.
-Tamat-
Subscribe to:
Posts (Atom)