Pages

Thursday, August 20, 2015

‘GURU PENYULUH KEHIDUPAN’


“Lalu  menjadi penerang bagi mereka di alam kubur nanti”

“ Cikgu, Irfan tiada duit”, adu sahabat baiknya Riduan sewaktu sesi rehat. Irfan murid darjah 4 yang sering tiada wang saku ke sekolah. Kadang-kadang duitnya sengaja disimpan untuk keesokan harinya dan kelihatan sangat berjimat cermat. Sikap Irfan yang sopan dan sentiasa memberi salam ketika bertemu, berjaya menarik perhatian saya sebagai guru praktikum yang baru seminggu menjejakkan kaki ke sekolah itu. Saya seringkali mendapat jadual kelas ganti di kelas Irfan belajar, dan setiap kali itu saya cuba berkenalan dengan lebih akrab lagi dengan mereka.
Sebagai guru praktikum, sikap suka memerhati sudah menjadi sinonim kerana budaya sekolah dan persekitarannya hendak disebatikan dalam diri. Menjiwai profesion perguruan iaitu dengan membiasakan diri dengan watak-watak yang wujud di sekolah, kadang-kadang membuatkan saya tersenyum nipis melihat karenah murid-murid dan perbicaraan guru-guru di sekolah yang sering bercakap tentang murid mereka. Malah apa  yang lebih mengagumkan guru-guru bercakap tentang murid mereka seolah-olah bercakap tentang anak mereka sendiri yang sangat mereka kenali.
Saya menjalani praktikum berfasa dan kesemuanya sebanyak 3 fasa. Setiap fasa praktikum, saya jalani di sekolah-sekolah yang berlainan dan mendapat pengalaman yang berbeza bagi setiap sekolah. Namun begitu, tetap ada persamaan dalam beberapa aspek dan juga beberapa perbezaan yang ketara. Oleh itu, saya menyimpulkan bahawa setiap sekolah memiliki corak pimpinan yang berbeza dan memberi pengalaman yang berbeza. Saya berasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai beberapa pengalaman yang berharga ini.
Mengenang kembali peristiwa pahit manis semasa menjalani praktikum, salah sebuah sekolah yang terletak di pinggir bandar telah menggamit satu kenangan indah dalam diri saya sebagai seorang bakal guru. Sekolah yang terletak di tengah jelapang padi ini benar-benar memberi ketenangan bagi sesiapa yang datang ke sana. Murid-murid juga kelihatan sangat seronok menyambut kehadiran kami sebagai guru praktikum di sekolah ini.
Sekolah ini juga berjaya melahirkan murid-murid yang cerdas dan berbakat walaupun bilangan mereka hanyalah sedikit berbanding sekolah-sekolah di bandar. Saya yakin bahawa kejayaan murid-murid bermula dengan kehebatan guru-gurunya mendidik. Kak Ana, yang merupakan seorang guru Bahasa Melayu tahun 4 Fathonah sering menarik perhatian saya, sudah menjadi rutin hariannya turun naik ke kelas yang terletak di tingkat 3. Kak Ana yang berpersonaliti menawan seringkali mendapat perhatian murid-murid, hampir setiap pagi ada sahaja murid yang memuji penampilan Kak Ana . Wajah Kak Ana yang hampir seiras dengan pelakon Indonesia itu bertambah anggun lagi dengan perwatakannya yang lemah lebut dan juga tidak kedekut menghulurkan senyuman.
Memandangkan Kak Ana sudi menjadi guru pembimbing saya semasa menjalani praktikum di sekolah itu, saya berpeluang mengenali Kak Ana dengan lebih dekat lagi. Saya mendapat tahu bahawa Kak Ana mengajar dan menjaga dua buah kelas yang tercorot dan sangat terkenal dengan murid yang agresif dan aktif. Hampir semua guru yang mengajar kelas tersebut, turut mengeluh setiap kali balik dari mengajar kelas tersebut. Malah ada segelintir guru yang seolah-olah menakutkan kami untuk masuk mengajar di kelas tersebut.
Namun begitu, berbeza sekali bagi Kak Ana yang sentiasa berfikiran positif terhadap murid-muridnya. Kami bertemu dengan Kak Ana untuk membincangkan silibus pengajaran dan juga bertanyakan sikap murid-murid di kelas tersebut, dan jelas Kak Ana tidak memberikan sebarang pandangan negetif tetapi memberikan dorangan kepada kami. Malah, Kak Ana juga turut sudi memberi tunjuk ajar dengan menunjukkan kepada saya bagaimana cara mengawal kelas tersebut. Peribadi Kak Ana yang sentiasa komited dengan tugasnya dan tenang dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa itu sangatlah terpuji.
Selain itu, kelembutan dan kasih sayang Kak Ana sangat terserlah dan menyentuh hati sesiapa yang melihatnya. Irfan yang merupakan salah seorang murid Kak Ana dan merupakan anak pertama daripada dua beradik itu bukan lah anak-anak yang bernasib baik. Irfan dan adiknya kini dibawah jagaan neneknya yang sudah tua namun tetap gigih menghantar cucu-cucunya ke sekolah. Ibu Irfan telah pun meninggal dunia manakala ayah mereka pula telah pun meninggalkan mereka sejak mereka masih kecil lagi. Saya sering melihat Kak Ana bertemu dengan Irfan dengan memberikan sesuatu kepada budak kecil itu. Kadang-kadang Kak Ana berikan belanja untuk rehat dan adakala membelikan mereka set pakaian sekolah. Jauh disudut hati, saya kagum dengan kemuliaan hati dan keprihatinan Kak Ana terhadap murid-muridnya.
Kasih sayang merupakan keperluan asas dalam kehidupan seseorang. Ia diletakkan sama penting dengan keperluan fisiologi dan keperluan keselamatan. Apatah lagi untuk seorang kanak-kanak seawal usia seperti Irfan. Kekurangan belaian dan kasih sayang daripada ibu bapa dan penjaga akan memberikan kesan negetif dalam perkembangan emosi anak kecil. Rasulullah juga menyelar golongan yang tidak menyayangi anak-anak sebagaimana maksud hadis, “ Tidaklah termasuk golongan kami, orang-orang yang tidak mengasihi anak kecil di antara kami dan tidak mengetahui hak orang besar di antara kami” riwayat Abu Daud dan Tarmizi.
Selain daripada memberi kasih sayang, seorang guru juga perlu amanah dalam menjalankan tanggungjawab mendidik murid-murid iaitu dengan memberikan ilmu pendidikan yang benar. Ilmu ibarat cahaya yang mampu menyuluh kehidupan murid di masa hadapan. Justeru itu, peranan guru adalah sangat besar dalam mencorak anak bangsa. Meskipun perjalanan saya masih terlalu singkat dalam bidang ini, saya dapat merasai bebanan kerja yang ditanggung oleh guru-guru di sekolah. Guru bukan sahaja memberi ilmu pendidikan tetapi guru juga mendidik murid dengan membentuk akhlak yang mulia.
Pernah saya mengeluh sewaktu mengajar murid tahun 4 Fathonah yang sangat terkenal dengan sikap suka bermain di kelas. Saya merasakan bahawa saya sudah melakukan sehabis baik untuk mereka belajar, namun sikap mereka sahaja yang tidak mahu berubah. Saya berusaha untuk muhasabah diri supaya tidak berlaku kejam terhadap mereka iaitu dengan mengabaikan tanggungjawab saya supaya mendidik mereka untuk terus berubah. Namun begitu, ada satu hari ketika saya melintas kelas mereka, saya melihat Kak Ana sedang mengajar di kelas tersebut dan melihat suasana yang berbeza. Saya berasa sangat pelik kerana mereka semua belajar dengan tekun walaupun Kak Ana mengajar dengan lembut tanpa meninggikan suara.
Sejak itu, saya mula menyalahkan diri kerana tidak mampu mengawal mereka dan tertanya-tanya apakah yang Kak Ana lakukan sehingga berjaya membuatkan mereka mahu belajar dengan tekun. Oleh itu, saya dengan rendah hati telah bertemu dengan Kak Ana untuk bertanyakan pendapat Kak Ana tentang cara mengawal murid di kelas itu. Kak Ana seorang yang sangatlah merendahkan diri, namun tidak pernah mengecewakan saya setiap kali bertemu dengannya untuk mendapatkan pendapat. Kak Ana memberitahu saya bahawa seorang pendidik perlu peka dengan tahap pembelajaran anak murid di sekolah kerana ada sebilangan murid yang mempunyai keupayaan kognitif yang lemah dan ada di antara mereka yang mempunyai masalah membaca, menulis, mengira dan sebagainya.
Antara cara untuk mendidik murid yang lemah dalam pembelajaran adalah dengan memberikan motivasi kepada mereka. Motivasi berbentuk ekstrinsik dan intrinsik boleh diberikan untuk menggalakan murid-murid ini untuk terus berusaha mengejar impian. Motivasi ekstrinsik ialah berbentuk pujian, markah yang baik, hadiah dan sebagainya. Manakala, motivasi intrinsik ialah dengan memberikan peluang kepada murid untuk mengendalikan sesuatu yang boleh membuatkan mereka gembira, puas hati dan ingin berjaya.
Abdullah Nasih Ulwan menyebutkan bahawa generasi islam terdahulu bersungguh-sungguh berusaha untuk menyerahkan anak mereka kepada guru yang dipercayai. Mereka juga selalu mengadakan pertemuan dengan para guru anak mereka itu. Antara pesanan mereka kepada guru tersebut adalah, “ Janganlah kamu keluarkan mereka daripada satu ilmu kepada ilmu yang lain hingga mereka betul-betul menguasai ilmu tersebut.’’ Oleh itu, sebagai seorang guru sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk memberikan ilmu kepada murid-murid di sekolah dengan ikhlas dan sabar.
Setiap nasihat yang Kak Ana sampaikan ianya lahir dari hati yang jelas terpancar keikhlasan dalam mendidik. Kata-kata Kak Ana juga ibarat peluru yang menembak diri ini supaya sedar akan kepentingan seorang guru dalam mendidik murid-murid. Tanggungjawab seorang guru perlu dijalankan dengan sebaik mungkin bukan hanya seperti melepaskan batuk di tepi tangga tetapi hendaklah seperti menatang minyak yang penuh.
Selain itu, seorang guru juga perlu sentiasa bertaubat dan memperbaiki hubungannya dengan Allah s.w.t supaya dengan itu dia dapat menghadapi kesibukan tugasnya dan berhadapan dengan para pelajarnya dengan baik. Guru juga perlu ikhlas dalam melaksanakan pekerjaannya, bersifat kasih sayang dan menunjukkan akhlak yang baik untuk menjadi ikutan para pelajar. Sememangnya bukan mudah untuk menjadi seorang guru dengan kesibukan seorang guru itu sendiri. Namun, itu bukanlah alasan untuk guru melepaskan terus peranan tersebut tanpa mencubanya.
Justeru itu, sebagai seorang bakal guru kepada anak bangsa, saya sangatlah teruja untuk mencontohi sikap kak Ana dalam profesion perguruan beliau. Kak Ana boleh menjadi suri teladan buat saya untuk memiliki nilai-nilai murni dalam profesion perguruan ini. Selain menjadi suri teladan, kata-kata kak Ana yang memberi bekas dalam hati, seolah-olah membakar lagi semangat saya untuk menjadi seorang pendidik yang ikhlas dan sabar dalam mendidik anak bangsa. Saya tidak menafikan Kak Ana sebagai salah seorang guru yang berjaya memberi inspirasi dalam hidup saya untuk terus bertapak dalam bidang perguruan ini.
Akhir sekali, sekalung jutaan terima kasih buat Kak Ana yang banyak membuka mata hati saya untuk melihat bidang perguruan ini diperspektif yang jauh lebih mulia. Semoga saya berjaya mencontohi para guru yang telah berjaya melahirkan murid-murid yang berjaya di dunia dan di akhirat sana.
“ Sesiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu, maka ia mendapat pahala sama seperti orang yang mengamalkan ilmu tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkan ilmu tersebut.” Riwayat Ibnu Majah.

-Tamat-











                  

No comments:

Post a Comment