Pages

Friday, October 5, 2012

Kisah Si Penjual Nasi Lemak

Ilmuku cetek, perjalananku pendek,
Aku ingin melangkah jauh,
Seiring dengan sahabat seusia ku,
Meski hidupku, tidak seindah sang pelangi,
Yang memiliki 7 warna yang indah,
Namun, aku ingin menjadi sepertinya,
Ceria dan indah.. =)

Sejak peninggalan arwah abah dan ibu, aku lah yang mewarisi segalanya. memandangkan aku sahaja anak tunggal mereka. Namun, harta yang ditinggalkan kepadaku, tidaklah sebesar mana, hanya sebuah rumah kayu yang usang dan sebiji motosikal. Aku tidak hairan, kerana Abahku hanyalahseorang penjual nasi lemak dan ibu pula bekerja sebagai penjahit kain. Hidup kami tidaklah mewah, dan aku juga sudah biasa dengan cara hidup sebegitu. Abah dan ibu meninggalkan aku sendirian seawal usiaku 12 tahun. Saat itu, aku seperti melukut di tepi gantang. Tiada siapa yang aku mampu harapkan untuk bergantung, hanya Pakcik Lim sahaja yang sudi menziarah dan bertanyakan khabarku. Pakcik Lim adalah kawan rapat Abah, dia selalu temankan Abah menjual nasi lemak.

Kini, aku telah mewarisi pekerjaan abah. Aku tinggalkan dunia belajarku, memandangkan aku tidak ada wang untuk menyambung kembali pelajaran. Namun, aku tetap berazam untuk menggapai cita-citaku. Cita-citaku ibarat air yang akan terus mengalir, andai ada sebuah batu besar menghalangnya, aku pasti akan membesarkan airku untuk menenggelamkan batu itu. Air itu ibarat cita-citaku...

Pendapatan dengan menjual nasi lemak, pada awalnya agak menguntungkan. Tambahan pula, aku tidak memiliki tanggungan untuk dilunaskan. Hanya memerlukan modal untuk jualan harian. Oleh itu, aku rasa selesa dan senang dengan pekerjaanku itu. Namun, ianya tidak lama, memandangkan sebuah lagi gerai nasi lemak di buka berdekatan dengan geraiku.  Gerai tersebut menawarkan harga yang jauh lebih murah dan kuantiti nasi lemaknya juga boleh tahan. Aku tidak mampu untuk menawarkan harga serendah itu, memandangkan hasil jualan itulah yang menjadi periuk nasiku. Hari demi hari, pelangganku semakin sepi dan jualanku sama sekali tidak ada yang membeli.

Aku memilih untuk berhijrah ke Ibu kota. Di sana aku yakin, pasti ramai yang sudi membeli nasi lemakku, memandangkan semua sibuk untuk bekerja, pasti tidak ada masa untuk menyediakan sarapan. Sangkaanku tepat, setiap hari pelangganku bertambah-tambah. Keuntunganku berlipatganda berbanding sewaktu aku berniaga di kampung dahulu. Namun begitu, sara hidupku terlalu tinggi. Keuntungan yang aku perolehi hanyalah cukup untuk menampung bayaran rumah sewa ku.

Aku yang masih usia setahun jagung, terasa sangat diremehkan oleh masyarakat ketika itu. Memandangkan aku berada di negeri orang, aku kelihatan seperti anak muda yang merempat. Ke sana sini aku mencari peluang pekerjaan, namun tidak ada sesiapa yang sudi menerimaku. Sehinggalah aku bertemu dengan seorang nelayan tua. Ketika melihatnya sedang memunggah ikan-ikan untuk di bawa ke pasar raya, aku lalu datang kepadanya untuk memohon jawatan dijadikan sebagai pembantu. Pakcik itu menolak permintaanku, kerana tidak mampu untuk memberikan bayaran yang lumayan sebagi gajiku. Namun, aku tetap tidak berputus asa memujuknya untuk menerimaku. Akhirnya, ia bersetuju tanpa menetapkan berapa gajiku sebulan. Aku redha berapa jua pendapatan yang aku perolehi, bagiku asal ada itu sudah memadai.

Hari-hariku menjadi lebih sibuk dan memenatkan. Awal pagi aku kena bangun untuk menyiapkan jualan nasi lemak, kemudian setelah selesai berniaga, aku akan turun ke laut untuk mengambil ikan-ikan untuk di jual di pasar raya pula. Biasanya, aku akan dapat balik ke rumah untuk berehat hanyalah pada waktu malam. Aktivit harian ku ini sudahpun berjalan selama 3 bulan. Badanku seolah-olah sudah terbiasa dengan kepenatan. Keuntungan berniaga dan memunggah ikan-ikan memang cukup untuk menyara kehidupan ku kini. Malah, aku juga sudah mampu untuk menyimpan wang simpanan.

Pada suatu hari, pakcik nelayan tesebut mengajak ku untuk sama-sama mencari ikan di lautan. Katanya, dia sudah tidak larat untuk menangkap ikan memandangkan usianya yang sudah tua. Aku berasa kasihan melihatnya dan bersetuju untuk menemaninya belayar di lautan. Aku juga mulai meninggalkan pekerjaan ku sebagai si penjual nasi lemak. Aku mulai belajar banyak perkara daripada pakcik itu tentang cara-cara untuk menguruskan pelayaran, mengawal ombak, kawasan yang strategik dan kawasan yang paling banyak ikan. Kemahiran-kemahiran tersebut memudahkan lagi pekerjaanku. Memandangkan aku masih muda dan bertenaga, hasil ikan yang kami perolehi adalah jauh lebih banyak berbanding dahulu, malah keuntungan juga semakin lumayan.

Sehinggalah ke satu saat di mana, pakcik tua itu menyatakan hasratnya kepada ku untuk aku mengawini puterinya dan mengambil tugasnya sebagai nelayan dan menjadi  usahawan yang berjaya. Kini, aku sudahpun memiliki sebuah keluarga dan pusat perniagaan sendiri. Aku berasa sangat bersyukur dan bertuah.  Cita-citaku untuk menjadi seorang usahawan akhirnya berjaya. Berdasarkan pengalaman dan kemasyuran pusat perniagaan ku, aku ditawarkan peluang untuk menyambung pengajian dalan bidang perniagaan dan keusahawanan. Walaupun aku sudah banyak ketinggalan, tapi aku tetap tidak melepaskan peluang ini untuk menyambung pelajaran. Berbekalkan dorangan isteri dan tunjuk ajarnya, aku yakin yang aku mampu untuk berjaya dalam pengajian tersebut.

P/s : Idea cerita ini muncul ketika penulis sedang makan nasi lemak. =D

No comments:

Post a Comment